OSLO:
Pertubuhan Pencegahan Senjata Kimia (OPCW), badan yang menyelia
penghapusan senjata kimia Syria, telah diumumkan sebagai pemenang Hadiah
Nobel bagi Keamanan semalam.
Badan itu diiktiraf kerana "usaha meluasnya menghapuskan senjata
kimia", kata Pengerusi Jawatankuasa Nobel, Encik Thorbjoern Jagland.
Tambahnya, anugerah itu juga merupakan satu peringatan kepada negara
yang mempunyai simpanan besar senjata kimia seperti Amerika Syarikat dan
Russia menghapuskan simpanan mereka, "terutama sekali kerana mereka
menuntut yang lain melakukan perkara yang sama seperti Syria".
OPCW yang berpangkalan di The Hague ditubuhkan pada tahun 1997 bagi
melaksanakan Konvensyen Senjata Kimia yang ditandatangani pada 13
Januari 1993.
Sejak ditubuhkan 16 tahun lalu, OPCW telah memusnahkan 57,000 tan
senjata kimia, kebanyakan peninggalan era Perang Dingin yang dalam
simpanan Amerika Syarikat dan Russia.
"Kejadian baru-baru ini di Syria, di mana senjata kimia sekali lagi
digunakan, telah menggariskan perlunya usaha ditingkatkan bagi
menghapuskan senjata sedemikian," kata panel juri dalam kenyataa.
Sebelum ini, OPCW lebih banyak bekerja di belakang tabir, sehinggalah
tugasnya menyelia penghapusan simpanan dan kemudahan senjata kimia
Syria menarik perhatian global.
Usaha menghapuskan simpanan dan kemudahan senjata kimia itu harus
diselesaikan menjelang pertengahan 2014 di bawah syarat ketetapan Majlis
Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sekitar 30 pakar senjata OPCW serta kakitangan logistik dan
keselamatan PBB kini berada di Syria dan mula memusnahkan kemudahan
membuat senjata kimia negara itu.
Tahun ini merupakan tahun kedua Hadiah Nobel bagi Keamanan diberikan
kepada sebuah pertubuhan. Tahun lalu, hadiah itu diberikan kepada
Kesatuan Eropah.
Sebelum ini, remaja berusia 16 tahun, Malala Yousufzai, yang ditembak
di kepala oleh pihak Taleban, merupakan calon yang dijangka menang.
Kemungkinan OPCW menang hanya mula disebut-sebut beberapa jam sebelum pemenang hadiah itu diumumkan.
Hadiah Nobel merangkumi pingat emas, diploma dan wang tunai sebanyak 8 juta kronor Sweden ($1.54 juta).
Hadiah akan disampaikan di Oslo pada 10 Disember.
SAMBUNG BACAAN ...