Jana Pendapatan

Saturday 26 October 2013

KL laksana GST 6 peratus mulai April 2015

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, mengumumkan rancangan melaksanakan cukai barangan dan khidmat (GST) sebanyak 6 peratus menjelang April 2015 bagi mendorong pendapatan dan mengurangkan hutang kerajaan.
Membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat semalam, Datuk Seri Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata cukai peribadi dan pendapatan akan juga dikurangkan agar menjadikan ekonomi itu lebih berdaya saing.
Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh 5 hingga 5.5 peratus tahun depan, lebih tinggi berbanding 4.5-5 peratus tahun ini didorong permintaan dalam negeri yang kukuh.
"Kerajaan memutuskan melaksanakan sistem cukai yang adil dan menyeluruh yang dapat dimanfaatkan semua warga Malaysia. Ini masa terbaik melaksanakan GST kerana kadar inflasi rendah dan terkawal,'' katanya.
Beliau menjamin warganya bahawa makanan asas, pendidikan, perumahan, pengangkutan awam dan penjagaan kesihatan tidak akan dikenakan GST.
Apabila GST dilaksanakan, kerajaan akan mengurangkan cukai pendapatan peribadi sebanyak satu hingga tiga peratusan mata.
Kadar cukai pendapatan korporat akan dikurangkan daripada 25 peratus kepada 24 peratus, manakala kadar cukai pendapatan peribadi dikurangkan 1-3 peratusan mata bagi semua pembayar cukai.
Pelepasan cukai khas sebanyak RM2,000 ($787) akan diberikan kepada golongan berpendapatan pertengahan yang bergaji sehingga RM8,000 sebulan manakala mereka yang pencen menerima bantuan kewangan khas sebanyak RM250 bagi membantu mereka menangani kos kehidupan yang meningkat.
Habuan tunai bagi golongan berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan akan dinaikkan kepada RM650 daripada RM500.
Subsidi gula sebanyak 34 sen dimansuhkan mulai hari ini bagi mengurangkan jumlah pesakit kencing manis di negara itu. Berdasarkan perangkaan, terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit kencing manis.
Sementara itu, kerajaan akan melaburkan RM106 bilion bagi projek-projek pelaburan awam yang meliputi pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat sepanjang 316 kilometer yang menghubungkan Taiping, Perak, ke Banting, Selangor.
Kerajaan mengekalkan komitmen mengurangkan jurang belanjawan daripada 4 peratus tahun ini kepada 3.5 peratus tahun depan. Ia menjangkakan mengekalkan had hutangnya sebanyak 55 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) tahun depan.
SAMBUNG BACAAN,,,

1 comment:

Busuk.com

Bacaan Ilmu di sini